![]() |
| Plus highway looking back near Serom @2026 |
Jumaat, 13 Februari 2026.
Pagi ini aku dah pi Tangkak, amek anak bongsu yg itu dari kolej matrikulasinya. Dgn mQ dan cik Jnulekasnova. Keadaan jalan agak sibuk dan traffic jam hampir sepanjang Plus highway sebab minggu depan dh mula cuti sekolah. Tahun baru cina dan mula puasa.
Tapi anakku tak boleh kuar sblm usai solat jumaat - 2.30pm, kata pak guard. Aku dgn anakku solat jumaat kat masjid dlm kolej.
Tajuk khutbah Jumaat. Lunturnya jiwa akibat dosa zina.
Movie me. Counterstrike (Mexico) 2025.
Now You See Me: Now You Don't 2025
Alahai.
![]() |
| Aquarium at echo Masai @2026 |
Berikut adalah teks penuh khutbah hari ini dari laman web JAIJ.
Runtuhnya Jiwa Akibat Dosa Zina
25 Syaaban 1447H bersamaan 13 Februari 2026M
الحمد لله القائل
Alhamdulillāhil qā’il:
Qul lil-mu’minīna yaghuddū min abṣārihim wa yaḥfaẓū furūjahum, żālika azkā lahum, innallāha khabīrun bimā yaṣna‘ūn. (Surah an-Nūr: 30)
Asyhadu an lā ilāha illallāhu waḥdahū lā syarīka lah, wa asyhadu anna sayyidanā Muḥammadan ‘abduhū wa rasūluh. Allāhumma ṣalli wa sallim ‘alā sayyidinā Muḥammad, wa ‘alā ālihī wa aṣḥābihī ajma‘īn.
Amma ba‘du,, fayā ‘ibādallāh, ittaqullāh. Ūṣīkum wa iyyāya bitaqwāllāh faqad fāzal muttaqūn.
Firman Allah Ta‘ala dalam kitab-Nya yang mulia:
Bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan juga kepada ulil amri (pemimpin) dalam kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu merujuk kepada Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah Rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu lebih baik dan lebih elok kesudahannya. (Surah an-Nisa' : 59)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Dengan itu kita tergolong dalam kalangan orang yang beriman serta memperoleh hidayah dan taufiq daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Khutbah pada hari ini bertajuk:
“Runtuhnya Jiwa Akibat Dosa Zina.”
Ma‘asyiral Muslimin rahimakumullah,
Apabila nafsu dibiarkan menjadi raja serta akal menjadi hamba, maka kita akan mudah terjebak dalam maksiat dan melihat dunia dengan mata yang kabur. Yang kotor akan dianggap bersih, yang halal tidak dipedulikan dan yang haram pula dianggap biasa.
Begitulah gambaran apabila hati menjadi gelap dan diri dikuasai nafsu.
Zina adalah suatu perbuatan yang haram dan sangat dilarang keras dalam agama Islam. Hal ini kerana agama Islam datang untuk memelihara kehormatan manusia dan memastikan setiap nasab keturunan manusia lahir dengan cara yang sah.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala menegaskan perkara ini menerusi firman-Nya dalam Surah an-Nur ayat 30, sebagaimana yang telah dibacakan pada awal khutbah tadi yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman agar mereka menundukkan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka; yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan.”
Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Terdapat banyak perkara yang perlu kita lakukan untuk menjaga diri daripada terjerumus dalam perbuatan zina, antaranya:
1. Menjaga pandangan
Perbuatan zina bukan hanya melibatkan perbuatan fizikal, bahkan dosa kecil seperti melihat perkara yang diharamkan juga boleh membawa kepada zina. Al-Quran mengingatkan manusia agar sentiasa berhati-hati terhadap setiap perkara yang boleh menarik seseorang itu ke arah zina.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman dalam Surah al-Isra’ ayat 32:
وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰٓ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةًۭ وَسَآءَ سَبِيلًۭا ٣٢
Yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (Riwayat al-Qur’an)
Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Ta‘ala bukan hanya melarang manusia daripada perbuatan zina, malah melarang juga segala wasilah perantara terhadap setiap jalan atau mukadimah yang boleh menjadikan pintu kepada perbuatan zina.
Di antara perkara-perkara yang boleh menjadi mukadimah kepada perbuatan zina adalah seperti berdua-duaan dengan pasangan yang bukan mahram, bersentuhan tanpa batas, bergurau senda dengan bebas, kandungan atau bahan-bahan yang boleh mendorong hawa nafsu syahwat, menonton perkara lucah, berkhayal dan sesuatu yang menggerakkan nafsu dan lain-lain perkara yang boleh menjadi mukadimah zina.
Dengan menutup pintu2 yg sangat merbahaya ini makan akan menjadi kecil ruang untuk seseorang itu terjatuh ke lembah zina.
==============================
Saudara-saudara kaum Muslimin sekalian,
Perlu kita ketahui bahawa Islam mengharamkan perbuatan zina kerana ia boleh merosakkan nasab keturunan dan memelihara kehormatan serta maruah diri. Zina bukan sahaja memberi kesan kepada pelaku, bahkan juga memberi kesan kepada masyarakat seluruhnya.
Hubungan terlarang di dunia mungkin kelihatan indah pada zahirnya, namun hakikatnya ia membawa kehancuran batin. Hubungan yang haram ini bukan sahaja merosakkan diri sendiri bahkan boleh mengundang kemurkaan Allah.
Antara akibatnya, pelaku zina akan dihina dan dipandang rendah oleh masyarakat. Rasulullah SAW pernah bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah ibn Umar رضي الله عنهما bermaksud:
“Tidaklah perbuatan zina itu muncul dalam sesuatu kaum dan mereka melakukannya secara terang-terangan, melainkan akan tersebar dalam kalangan mereka wabak penyakit (taun) dan penyakit-penyakit lain yang belum pernah berlaku pada generasi terdahulu.”
Hadis ini menunjukkan bahawa dosa zina bukan sahaja membawa kemurkaan Allah, bahkan boleh mengundang bala dan musibah kepada masyarakat seluruhnya.
Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa antara dosa besar yang akan menyebabkan seseorang itu diazab di akhirat ialah zina. Dalam kitab al-Kabair ada dinyatakan bahawa orang yang terlibat dengan dosa zina dan tidak bertaubat akan menerima azab yang pedih.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Sebagai kesimpulan bagi khutbah hari ini, marilah kita bersama-sama menginsafi diri dan berusaha menjauhi segala bentuk perbuatan zina. Dosa zina bukan sahaja melanggar batas syariah, tetapi juga meruntuhkan kehormatan diri, merosakkan institusi keluarga, dan membuka pintu bala kepada masyarakat.
Marilah kita kembali bertaubat kepada Allah سبحانه وتعالى terhadap segala perbuatan dosa yang pernah kita lakukan.Semoga Allah memelihara diri kita dan ahli keluarga kita, serta seluruh ahli masyarakat daripada perbuatan zina dan mengurniakan kekuatan kepada kita untuk terus hidup dalam ketaatan terhadap-Nya. Allah سبحانه وتعالى berfirman dalam Surah an-Nisa’ ayat 17:
إِنَّمَا ٱلتَّوْبَةُ عَلَى ٱللَّهِ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلسُّوٓءَ بِجَهَـٰلَةٍۢ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِن قَرِيبٍۢ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ يَتُوبُ ٱللَّهُ عَلَيْهِمْ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًۭا ١٧
Yang bermaksud:
“Sesungguhnya penerimaan taubat di sisi Allah hanyalah bagi orang yang melakukan kejahatan lantaran kejahilan, kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu), taubat mereka diterima Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”
Khutbah Jumaat Negeri Johor pada 13 Februari 2026 (Kolej Matrikulasi Johor, Tangkak)





0 Comments